Tuesday 5 April 2011

Teknik asas fotografi – Rule of third

Bidang fotografi merupakan salah satu daripada cabang seni dan seperti mana bidang seni yang lain, fotografi juga mempunyai prinsip-prinsip dan teknik-teknik yang perlu dipelajari. Ini tidak bermakna tanpa pengetahuan prinsip dan teknik tersebut, seseorang jurugambar itu tidak boleh mengambil gambar, sebaliknya pemahaman tentang prinsip dan teknik dalam bidang fotografi akan membantu seseorang jurugambar menghasilkan imej yang lebih berkualiti dan bernilai estetik.

Salah satu teknik asas dalam fotografi (dan juga bidang seni visual yang lain) adalah rule of third. Rule of third adalah salah satu teknik menyusun komposisi imej atau elemen visual . Ia menyatakan bahawa satu-satu imej itu perlu dibahagikan kepada sembilan bahagian yang sama besar dengan dua garisan melintang dan dua garisan menegak. Objek yang penting dan ingin ditonjolkan perlu berada di atas garisan atau titik pertemuan garisan tersebut.

ruleOfThird

Dalam imej di atas, garisan kaki langit dan gigi air terletak di garisan melintang manakala pulau yang terletak di latar belakang berada di titik pertemuan antara garisan menegak dan melintang. Secara umumnya, foto di atas menepati prinsip Rule of third.

Mengapa seseorang jurugambar perlu mengikut Rule of third ? Ada yang berpendapat bahawa imej yang mengikut Rule of third adalah lebih harmoni, seimbang dan kelihatan lebih tersusun. Rule of third memudahkan audiens untuk menghayati hasil karya.

Akan tetapi, tidak semua gambar perlu menepati Rule of third. Jika jurugambar itu ingin mengambil gambar secara candid atau spontan, maka prinsip Rule of third bolehlah diabaikan. Rule of third lebih kepada panduan umum untuk membantu jurugambar merancang komposisi sebelum menekan butang shutter pada kamera.

Diharapkan teknik ringkas ini dapat memberi sedikit sebanyak pendedahan tentang dunia fotografi. Tinggalkan pesanan jika ada sebarang komen dan pendapat.

No comments:

Post a Comment